Presiden Halimah, Speaker Parlimen positif

SINGAPURA 4 Julai – Presiden Singapura Halimah Yacob diuji positif bagi Covid-19 dengan gejala ringan demam selesema.

Berikutan itu, beliau memohon maaf kerana terpaksa melepaskan acara-acara pada minggu ini.

“Mujur, saya sudahpun divaksin dan mendapatkan dos penggalak. Saya berharap dapat pulih segera,” tulisnya dalam satu catatan Facebook.

Halimah menyertai acara NUS Bukit Timah Homecoming pada Sabtu, di mana beliau memperingati ulang tahun ke-65 Fakulti Undang-undang universiti itu dengan satu upacara memotong kek.

Beliau juga merasmikan perbarisan Hari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), di mana beliau memeriksa kontinjen Kawalan Kehormat dan menyampaikan Panji-panji Kecemerlangan kepada Unit Tempur Terbaik tahun ini.

Lebih 2,000 Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen), anggota perkhidmatan sepenuh masa (NSF) dan anggota tetap hadir di perbarisan itu.

Sementara itu, Speaker Parlimen Tan Chuan-jin juga memaklumkan bahawa beliau diuji positif Covid-19 dan tidak akan dapat menghadiri sidang Parlimen minggu ini.

“Semua perkara baik pasti akan berakhir. Hari-hari bebas Covid yang saya tempuhi sudah berakhir,” tulisnya dalam catatan Facebook.

Tan berkata beliau mengalami sedikit gejala demam selesema tetapi kemudian diuji negatif dan merasakan beliau “sedang beransur pulih”.

Beliau menguji dirinya sekali lagi sebelum Parlimen bersidang pada Isnin dan mendapati hasilnya positif.

“Vaksinasi membantu jadi dapatkan suntikan dos penggalak apabila tiba giliran anda untuk berbuat demikian. Tolong ingatkan warga tua anda untuk mengambilnya!”, katanya.

Beliau juga terpaksa membatalkan beberapa acara dan pelantikan sepanjang beberapa hari akan datang serta meminta maaf kerana tidak dapat menghadirkan diri.

Related posts

Leave a Comment