Sasaran 600,000 hektar bakau

INDONESIA akan terus berusaha untuk memulihkan dan membangunkan pusat bakau dunia di beberapa wilayah sebagai salah satu komitmen menangani perubahan iklim.

Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam catatan Facebooknya berkata, menjelang akhir tahun 2024, sekurang-kurangnya 600,000 hektar tanah bakau mesti dipulihkan.

Beliau baru-baru ini turut melancarkan Ladang Rumpin di Bogor, serta Pelancaran Pemulihan Bakau, dan Pusat Bakau Sedunia yang turut dihadiri duta dari Amerika Syarikat, Jerman, Mesir, UAE, India, China, serta Pengarah Negara Bank Dunia dan Delegasi Kesatuan Eropah.

Menurut Jokowi sepanjang 2019 hingga 2022, Indonesia telah menanam dan memulihkan kira-kira 140,000 hektar tanah bakau.

Pemulihan hutan bakau merupakan salah satu usaha konkrit kerajaan untuk memperbaiki alam sekitar. Ini kerana hutan bakau boleh menyerap karbon empat kali lebih banyak daripada hutan hujan tropika biasa.

Usaha kerajaan Indonesia untuk memulihkan hutan bakau secara besar-besaran mendapat sokongan kerjasama daripada pelbagai pihak di dalam dan luar negara.

Related posts

Leave a Comment