HFMD di Sabah turun

KOTA KINABALU 10 Jun – Situasi semasa jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sabah menunjukkan penurunan 27.17 peratus pada minggu epidemiologi ke-22 bermula 29 Mei hingga 4 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin, berkata sepanjang minggu epidemiologi ke-22, sebanyak 528 kes HFMD dilaporkan berbanding 725 kes pada minggu epidemiologi ke-21.

Katanya, secara kumulatif, kes HFMD di Sabah sehingga minggu epidemiologi ke-22 ialah sebanyak 4,604 kes dengan 4,224 kes atau 91 peratus daripadanya adalah kes HFMD membabitkan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah.

“Melalui surveilans enterovirus, didapati sebanyak 57 sampel positif atau 21 peratus daripada 267 sampel yang diuji, iaitu masing-masing 39 sampel positif pan-enterovirus dan 18 sampel positif Coxsackie A16.

Kedua-dua jenis virus ini yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti di negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, sebanyak lima daerah melaporkan kumulatif kes HFMD tertinggi  iaitu Tawau (715 kes), Sandakan (615 kes), Papar (470 kes), Lahad Datu (428 kes) dan Kota Belud (399 kes).

Bagaimanapun, setakat ini tiada kes kematian yang disebabkan HFMD dilaporkan manakala kebanyakan kes jangkitan dilaporkan berlaku di rumah persendirian atau pusat pendidikan awal.

Sehingga minggu epidemiologi ke-22, sebanyak 7,568 premis seperti taska diperiksa pihak JKNS, manakala 6,980 premis dilakukan proses disinfeksi di seluruh negeri.

Dalam tempoh itu, sebanyak 44 premis diarah tutup mengikut Akta 342, manakala tiada premis ditutup secara sukarela oleh pemiliknya.

Bagaimanapun, sehingga kini sebanyak 35 premis sudah dibenarkan dibuka semula.

Related posts

Leave a Comment