Marina Bay bermandi cahaya

SINGAPURA 8 Jun – Mulai 3 Jun lalu, kawasan Marina Bay kembali bermandikan cahaya berwarna-warni dengan 20 arca lampu hasil rekaan artis dari 14 negara sempena pesta seni i Light Singapore.

Bertemakan “Spark of Light”, pesta tahun ini berharap dapat meningkatkan kesedaran para pengunjung supaya rasa terdorong mengamalkan tabiat-tabiat mesra alam dan merenung kembali hubungan mereka dengan alam sekitar.

Sembilan daripada rekaan seni itu dihasilkan oleh para artis Singapura di mana kesemua arca dan rekaan tahun ini menggunakan lampu jimat tenaga dan bahan-bahan mesra alam.

Orang ramai boleh menikmati keindahan hiasan lampu itu dari 7.30 malam hingga 11 malam dan dilanjutkan hingga 12 tengah malam pada hari Jumaat dan Sabtu.

Selain hiasan lampu, para pengunjung juga boleh menikmati kegiatan-kegiatan sampingan seperti ‘Drone Nation’ yang membolehkan orang ramai cuba mengendalikan dron dalam kawasan tertutup di The Lawn, Marina Bay.

i Light Singapore akan berlangsung hingga 26 Jun. Ia dianjurkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan dipersembahkan oleh Bank DBS serta melibatkan para pereka termasuk artis-artis media baharu , jurutera serta para pelajar dan lulusan dari institusi-institusi tempatan.

(Foto fb Lee Hsien Loong)

Related posts

Leave a Comment