WHO jangka lebih banyak kes dikesan

LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluaskan pengawasan di negara-negara yang tidak pernah mempunyai kes cacar monyet berikutan jangkaan lebih banyak kes itu dikesan.

Sehingga Sabtu lalu, 92 kes disahkan dan 28 kes disyaki dilaporkan dari 12 negara anggota yang bukan endemik virus itu.

WHO akan memberikan garis panduan berhubung cara mengurangkan penularan cacar monyet dalam masa terdekat.

Menurut WHO, penularan dari manusia ke manusia berlaku susulan individu berjangkit mempunyai hubungan rapat dengan kes yang bergejala.

Cacar monyet ialah penyakit berjangkit yang biasanya ringan dan menjadi endemik di bahagian barat dan tengah Afrika.

Ia disebarkan melalui hubungan rapat, jadi ia boleh dikawal dengan mudah melalui langkah-langkah seperti kuarantin diri dan kebersihan.

Pakar penyakit berjangkit WHO, David Heymann menjelaskan cacar monyet menular dalam komuniti melalui jangkitan seksual dan banyak kes semasa telah dikenal pasti di klinik kesihatan seksual.

Heymann berkata jawatankuasa pakar antarabangsa mengadakan mesyuarat untuk melihat sama ada terdapat sebarang penyebaran tanpa gejala, golongan yang paling berisiko, dan pelbagai laluan penularan.

Beliau berkata hubungan rapat adalah laluan penularan utama, kerana penyakit itu sangat menular.

Related posts

Leave a Comment