244 kes baharu di Brunei Darussalam

BERAKAS 11 Mei  – Brunei Darussalam hari ini mencatatkan 244 kes baharu Covid-19 berbanding 265 semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah 143,616.

Menteri Kesihatan Dr. Md. Isham Jaafar berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 236 adalah hasil Ujian ART dan lapan kes lagi hasil daripada 332 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, tiada kes dalam Kategori 5, iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Bagaimanapun dua kes direkodkan dalam Kategori 4, yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Sebanyak 100 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 142,061 manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 1,336 kes, iaitu 28 kes sedang dirawat di hospital, manakala 1,308 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, 1,621 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun mendapatkan dos vaksin Covid-19 menjadikan 27,694 atau 64.5 peratus telah menerima satu dos.

Sebanyak 1,188 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 5,996 atau 14.0 peratus manakala 67.2  peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment