PUTRAJAYA 1 Mei – Jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 mencatatkan penurunan dengan merekodkan lima orang meninggal dunia setakat tengah malam tadi tanpa kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik berkenaan sebanyak 35,547 orang, daripada 4.4 juta kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, terdapat 45,506 kes aktif Covid-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 44,214 individu atau 97.2 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 33 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 1,190 kes dirawat di hospital dan 79 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 24 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 45 lagi memerlukan mesin ventilator.
