Bella: Jangan sebarang komen

KUALA LUMPUR 21 April – Amaran, jangan sebarang komen. Itu peringatan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi berhubung perbicaraan kes pengabaian dan penderaan membabitkan remaja sindrom down dikenali sebagai Bella.

Izralizam mengeluarkan amaran itu selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nor Azizah Mohamad memaklumkan bahawa orang ramai masih membuat hantaran di laman sosial berhubung kes tersebut.

Beliau mengeluarkan amaran itu selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nor Azizah Mohamad memaklumkan bahawa orang ramai masih membuat hantaran di laman media sosial berhubung kes tersebut.

Perkara sama turut dibangkitkan oleh peguam yang dilantik Tunku Mahkota Johor  (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim, Baljit Singh Sidhu yang memberitahu hantaran terbabit turut melibatkan officers of the court.

“Mahkamah akur dengan semua rakyat Malaysia mempunyai hak kebebasan bersuara, namun, mahkamah mengingatkan terdapat undang-undang yang berkuat kuasa yang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang dikatakan mengeluarkan kenyataan melampau dalam penulisan, hantaran, komen dan sebagainya.

“Apa yang jelas, mahkamah perlu mengingatkan semua, kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada undang-undang yang berkaitan termasuk kandungan, menghina mahkamah dan fitnah.

“Oleh itu mahkamah ingin memberi amaran dan ingatan kepada orang ramai terutamanya yang hadir di galeri awam supaya tidak membuat sebarang komen yang berbentuk fitnah, subjudis atau menghina mahkamah.

“Sekiranya berlaku perkara-perkara tersebut, DPP boleh mengambil tindakan yang sewajarnya dengan merujuk kepada individu-individu terbabit secara spesifik yang membuat hantaran yang jelas melanggar undang-undang yang menghina mahkamah atau subjudis,” katanya pada prosiding di sini.

Izralizam menambah, sedangkan keterangan saksi pun belum selesai termasuk saksi kelima, Yasmin Nahar Mahmood yang tidak hadir pada Khamis kerana tidak sihat, namun sudah ada komen-komen yang melampau.

Menurutnya, perbicaraan masih lagi berjalan dan tertuduh masih belum dibuktikan bersalah.

“Kita masih lagi jauh perjalanan untuk memanggil saksi-sakti selain SP5 (saksi pendakwaan kelima) yang masih dalam pemeriksaan balas.

“Simpan komen-komen yang berbentuk subjudis dan fitnah untuk diri sendiri. Jangan untuk dapat followers, untuk baca tetapi menjejaskan perjalanan kes ini,” tegasnya lagi.

Beliau turut memberitahu, mahkamah mengambil maklum kenyataan Baljit Singh, di mana perkara itu turut melihatkan officers of court.

“Kita membuat kerja berdasarkan tanggungjawab masing-masing, DPP membawa kes ini untuk dituduh, peguam mempunyai tanggungjawab membela tetapi berada dalam ruang lingkup undang-undang yang sedia ada.

“Jangan overstep  atau melebihi undang-undang. Peguam tertakluk kepada etika, DPP tertakluk kepada undang-undang, publik juga tertakluk kepada undang-undang.

“Saya percaya orang awam dan pihak wartawan boleh memainkan peranan yang penting dengan mengikut kes ini berdasarkan undang-undang sedia ada, jangan membuat komen-komen yang menganggu saksi,” tambahnya.

Justeru beliau mengarahkan barisan pendakwaan untuk mengambil tindakan pendakwaan ke atas mana-mana individu secara spesifik dengan merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan.

Related posts

Leave a Comment