Negeri Sembilan, Kedah bantu RM1,000

NEGERI Sembilan dan Kedah masing-masing mengumumkan bantuan RM1,000 kepada penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Negeri Sembilan Aminuddin Harun, berkata pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam yang berada di bawah pentadbiran di negeri itu.

BKK itu akan membabitkan 4,050 penjawat awam dengan peruntukan sebanyak RM6 juta dan pembayaran dilakukan pada Jumaat depan (15 April).

Katanya, pemberian berkenaan sebagai usaha meringankan beban kewangan kepada anggota pentabiran kerajaan negeri dalam membuat persiapan menyambut hari raya tahun ini.

“Pemberian BKK ini juga bagi merancakkan ekonomi Negeri Sembilan selaras dengan tema Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2022, “Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

“Kerajaan negeri mengharapkan agar pemberian BKK ini akan meningkatkan lagi motivasi penjawat awam negeri untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang,” katanya.

Sementara itu di ALOR SETAR: Kerajaan Kedah turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada semua kakitangan awam negeri itu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kelulusan pemberian bantuan itu diputuskan pada Mesyuarat EXCO yang berlangsung di Wisma Darul Aman.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan bantuan khas berkenaan kepada semua Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) seluruh negeri itu.

Dalam kenyataannya, beliau berkata kelulusan ini membabitkan semua kakitangan awam pelbagai peringkat dan jawatan dengan peruntukan RM5.35 juta.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan sejumlah RM307,500 sebagai bayaran bantuan khas kepada Pengerusi dan Setiausaha JPKK.

Mesyuarat EXCO juga meluluskan Bantuan Khas Aidilfitri kepada Pengerusi dan Setiausaha JPKK seluruh negeri membabitkan seramai 2,050 penerima dengan peruntukan RM307,500.

Related posts

Leave a Comment