Jumlah kes Singapura lepasi 1 juta

SINGAPURA 20 Mac – Jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di Singapura mencecah 1,007,158 selepas 10,244 lagi kes baharu direkodkan semalam.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), sebanyak 10,102 kes tempatan dan 142 kes import dilaporkan dengan tiga kematian menjadikan 1,194 meninggal dunia.

Sebanyak 8,003 adalah kes Protokol 2 iaitu pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Kes baharu Protokol 2 ini terdiri daripada 91 kes import dan 7,912 jangkitan tempatan.

Sebanyak 2,241‬‬ lagi kes disahkan menerusi ujian PCR di mana 2,190 adalah jangkitan tempatan manakala 51 adalah kes import.

Singapura melaporkan kes baharu COVID-19 harian tertinggi iaitu 26,032 pada 22 Februari 2022.

Sepanjang 28 hari lepas, 435,235 orang telah dijangkiti dengan 99.7 peratus bergejala ringan manakala 0.2 peratus memerlukan bantuan oksigen dan 0.04 peratus pesakit di unit rawatan rapi.

Seramai 1,130 pesakit masih dirawat di hospital, turun sedikit berbanding 1,175 pada 18 Mac di mana 127 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa dan 27 dipantau  rapi di ICU manakala 11,536 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Sehingga 18 Mac 2022, kira-kira 95 peratus daripada penduduknya sudah melengkapkan vaksinasi  mereka, dan 70 peratus daripada jumlah populasi telah menerima suntikan penggalak.

Related posts

Leave a Comment