24,241 kes baharu Covid-19

PUTRAJAYA 19 Mac – Sebanyak 185 kes atau 0.76 peratus daripada 24,241 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan semalam melibatkan kategori tiga hingga lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata baki 24,056 kes pula terdiri daripada kategori satu dan dua, menjadikan kumulatif kes Covid-19 dalam negara sebanyak 3,951,678.

Daripada 185 kes kategori tiga hingga lima, 60 kes melibatkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, 71 kes telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak dan 54 kes telah menerima dos penggalak.

Dalam kenyataan mengenai situasi semasa kes Covid-19, beliau berkata, sebanyak 26,615 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan kes sembuh kumulatif 3,623,068.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 1,665 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam, dengan 679 kes atau 40.8 peratus melibatkan kategori tiga hingga lima, manakala 986 kes atau 59.2 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

Katanya, sebanyak 383 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 222 kes memerlukan alat bantuan pernafasan, sekali gus menjadikan peratusan penggunaan ventilator menurun kepada 25 peratus.

Sementara itu, sebanyak lapan negeri menunjukkan peratusan pengisian katil kes kritikal (ICU) lebih 50 peratus iaitu Kuala Lumpur (73 peratus), Putrajaya (67 peratus), Perlis (64 peratus), Kelantan (63 peratus), Selangor (57 peratus), Pulau Pinang dan Sarawak (55 peratus) dan Johor (53 peratus).  

Dr Noor Hisham berkata nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 negara kini ialah 0.92 dan negeri yang mencatat Rt tertinggi ialah Sarawak dengan 1.10.

Negeri lain yang mencatatkan Rt melebihi 1.0 ialah Kuala Lumpur (1.04), Terengganu (1.03) serta Negeri Sembilan dan Perak (1.02). 

Related posts

Leave a Comment