Bersama bina Johor makmur

JOHOR BAHRU 15 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Hasni Mohammad mengajak semua Bangsa Johor supaya bersama-sama membina negeri ini yang lebih makmur.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor, mengucapkan tahniah kepada Onn Hafiz Ghazi atas pelantikannya sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

“Seperti yang saya telah nyatakan, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim.

“Kini masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur. Insya-Allah di bawah kepimpinan baharu, Negeri Johor yang kita cintai ini akan menjadi lebih makmur dan sejahtera,” katanya menerusi Facebook.

Hasni adalah Ketua UMNO Bahagian Pontian sejak 2001 dan pernah menjadi Ahli Parlimen Pontian pada tahun 2004 hingga 2008.

Hasni kemudian bertanding Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut pada 2008 dan kekal selama empat penggal.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Hasni menang dengan majoriti selesa lebih 5,000 undi mengatasi tiga pencabarnya di DUN Benut.

Pada 28 Februari 2020, Hasni disahkan menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim.

Hasni menggantikan Dr Sahruddin Jamal dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-17 pada 14 April, 2019.

Beliau adalah Menteri Besar yang ketiga dilantik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, selepas Allahyarham Osman Sapian dan  Dr Sahruddin.

.

Related posts

Leave a Comment