26,701 kes baharu Covid-19

PUTRAJAYA 18 Feb. – Malaysia merekodkan sebanyak 26,701 kes baharu Covid-19 semalam menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti kini meningkat kepada 3,138,215 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau memberitahu, jumlah yang direkodkan itu membabitkan 26,569 kes tempatan dengan 132 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 99.56 peratus bersamaan 26,583 kes adalah pesakit Covid-19 dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Daripada jumlah yang dinyatakan itu, sebanyak 76.70 peratus iaitu 20,480 kes adalah pesakit Covid-19 dalam kategori dua dengan 6,103 kes (22.86 peratus) adalah pesakit kategori satu.

Selebihnya, bagi kategori tiga terdapat 77 kes (0.29 peratus), kategori empat dengan 19 kes (0.07 peratus) serta bagi kategori lima adalah 22 kes (0.08 peratus).

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata daripada jumlah keseluruhan 118 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 22 kes iaitu 18.6 peratus belum divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

Selain itu 71 kes sudah menerima dua dos vaksin namun kumpulan ini berisiko kerana berkemungkinan imuniti Covid-19 sudah menurun.

Sebanyak 25 kes sudah menerima dos penggalak, berumur 60 tahun ke atas (53 kes), mempunyai komorbid (49 kes), ibu mengandung (4 kes) dan meninggal dunia (10 kes).

Di samping itu, sebanyak 19 kluster baharu direkodkan menjadikan 6,195 kluster tetapi hanya 481 kluster masih aktif.

Related posts

Leave a Comment