Korea Selatan, Jepun catat kes tinggi

KOREA Selatan dan Jepun hari ini merekodkan angka harian kes Covid-19 yang tinggi berikutan penularan varian Omicron.

Di Korea Selatan, kes melonjak kepada lebih 90,000, manakala di Jepun 84,220 kes baharu yang dianggap turun tetapi merekodkan kematian tertinggi.

Perdana Menteri, Kim Boo Kyum, yang meminta maaf kepada rakyat yang telah bekerjasama, berkata, kerajaan telah menyediakan keperluan katil hospital dengan lebih awal dan memperluas rawatan di rumah.

“Justeru, sistem tindak balas perubatan kita tidak menghadapi masalah, setakat ini,” kata Boo Kyum dalam laporan media.

Menurut pihak berkuasa, sebanyak 90,443 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan yang juga mencatat rekod angka harian yang baharu, meningkat tinggi berbanding 57,164 pada hari sebelumnya.

Boo Kyum berkata, kerajaan akan memutuskan Jumaat ini, sama ada mahu mengubah suai peraturan penjarakan fizikal sedia ada.

“Kita perlu membuat keputusan selepas mempertimbangkan dari kedua-dua aspek penularan varian Omicron serta kesan sekatan yang diperketatkan terhadap kehidupan rakyat sejak lebih dua bulan lalu,” katanya.

Sementara itu, Jepun mencatat angka harian tertinggi bagi korban Covid-19 dalam tempoh dua tahun dilanda pandemik itu, semalam, apabila merekodkan 236 kematian baharu.

Angka harian itu melepasi rekod 216 korban baharu pada 18 Mei tahun lalu.

Setakat bulan ini, Covid-19 telah meragut sejumlah hampir 2,000 nyawa di Jepun.

Semalam, Tokyo merekodkan 16 kematian baharu akibat Covid-19 yang kebanyakannya membabitkan mangsa berumur 70 hingga 90 tahun.

Dalam pada itu, sebanyak 84,220 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh Jepun, yang menunjukkan trend menurun dalam penularan varian Omicron.

Related posts

Leave a Comment