206,748 kanak-kanak disuntik vaksin

PUTRAJAYA 15 Feb. – Sebanyak 206,748 atau 5.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Semalam, seramai 36,306 lagi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun mendapatkan suntikan vaksin itu.

Menurut laman web COVIDNOW, setakat semalam juga, sebanyak 2,796,021 individu atau 89.9 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun melengkapkan vaksinasi mereka.

Sebanyak 1,279 lagi daripada populasi remaja itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjadikan jumlah keseluruhan 2,875,825 atau 92.5 peratus.

Sejumlah 22,938,190 individu atau 97.5 peratus daripada populasi dewasa telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 98.7 peratus atau 23,214,625 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Setakat semalam juga, sebanyak 13,373,479 atau 56.8 peratus populasi dewasa dalam negara telah menerima dos penggalak Covid-19.

Bagi populasi keseluruhan, sebanyak 25,734,211 atau 78.8 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 80.5 peratus atau 26,297,198 mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Semalam, sebanyak 149,888 dos vaksin diberikan meliputi 38,738 dos pertama, 1,489 dos kedua dan 109,661 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 65,198,894 dos.

Related posts

Leave a Comment