Peningkatan kes baharu di Sabah

KOTA KINABALU 7 Feb. – Sabah merekodkan peningkatan kes dengan 1,600 kes baharu Covid-19, berbanding 1,285 yang direkodkan semalam,  kata Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan Covid-19, Masidi Manjun.

Beliau berkata, dua kluster baharu direkodkan hari ini masing-masing melibatkan klsuter tempat kerja iaitu Kluster Giram di Kunak serta kluster institusi pendidikan, Kluster Jalan Pintas Sembulan, Kota Kinabalu.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu, penambahan dua kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif di Sabah ialah 26.

Bagi Kluster Giram berlaku di Ladang Giram apabila kes indeks adalah seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang mula bergejala selesema dan batuk pada 31 Januari lalu.

“Saringan terhadap kontak sekerja dan kontak keluarga mendapati 19 lagi kes positif. Jumlah keseluruhan kluster ini sebanyak 20 kes dan tiga kes baharu dilaporkan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kluster Jalan Pintas Sembulan pula melibatkan asrama sekolah Maktab Sabah, Kota Kinabalu melibatkan kumpulan pelajar asrama di Sekolah Menengah Maktab Sabah.

Katanya kes indeks adalah seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang tinggal di asrama sekolah itu yang sudah mula bergejala pada 2 Februari lalu dan disahkan positif.

Seramai 79 kontak rapat telah disaring dan 17 pelajar didapati positif. Kesemua yang didapati positif adalah dalam kategori bergejala ringan dan telah dihantar ke pusat kuarantin serta menerima rawatan sesuai.

Selain itu, Masidi berkata, 1,587 daripada 1,600 kes hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2; kategori 3 (lapan); kategori 4 (lima) dan tiada kes dalam kategori 5.

Related posts

Leave a Comment