Dewasa Austria diwajibkan vaksinasi

VIENNA 22 Jan. – Parlimen Austria meluluskan undang-undang mewajibkan vaksinasi Covid-19 bagi orang dewasa mulai bulan depan, walaupun terdapat gelombang bantahan yang menentang langkah itu.

Langkah itu menjadikan Austria negara Eropah pertama berbuat demikian ketika puluhan ribu orang p mengadakan bantahan untuk menentang vaksinasi wajib itu dalam siri perhimpunan hujung minggu sejak langkah itu diumumkan November lalu.

Semua parti, kecuali sayap kanan, menyokong langkah itu, dengan perundangan baharu itu diluluskan kelmarin dengan 137 undi menyokong dan 33 menentang di Parlimen yang mempunyai  183 kerusi. Ia lulus dengan majoriti yang diperlukan.

Setakat ini, 72 peratus penduduk Austria telah diberi vaksin sepenuhnya terhadap Covid-19 – sejajar dengan purata seluruh Kesatuan Eropah (EU), tetapi beberapa mata peratusan di bawah negara jiran seperti Itali dan Perancis.

Di bawah undang-undang baharu, yang berkuat kuasa pada 4 Februari, mereka yang tidak mahu menerima suntikan vaksin Covid-19 boleh didenda sehingga 3,600 euro ($5,500) mulai pertengahan Mac selepas “fasa pengenalan” awal.

Pemerintah Austria mulanya mahu merangkumi undang-undang itu kepada semua orang berumur 14 tahun ke atas, tetapi kini hanya terpakai kepada golongan dewasa kecuali wanita hamil dan mereka yang dikecualikan atas sebab kesihatan.

Sebilangan besar ahli parlimen daripada semua parti mengundi menyokong undang-undang tersebut, dengan pemimpin pembangkang Sosial Demokrat (SPOe) dan NEOS Liberal memberi sokongan kepada gabungan Parti Hijau kanan-tengah.

Satu-satunya yang membantah undang-undang itu adalah daripada Parti Kebebasan (FPOe) yang berhaluan kanan yang cuba memikat pengundi antivaksinasi.

Pemimpin FPOe,  Herbert Kickl, mengecam undang-undang itu dalam perbahasan Parlimen dan berikrar bahawa beliau sendiri akan terus menolak vaksinasi sebagai penentangannya terhadap undang-undang baru itu.

Related posts

Leave a Comment