Umrah ditangguh mulai 8 Januari

KUALA LUMPUR 1 Jan. – Kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari ini berikutan penularan jangkitan Omicron, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Katanya,  larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Berikutan itu, tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa, hari ini.

Jemaah umrah pula perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel tertentu seperti dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bermula 3 Januari (Isnin ini).

Bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci hari ini hingga 7 Januari depan, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, namun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel seperti dikenal pasti oleh NADMA apabila tiba di Malaysia.

Hasil mesyuarat sudah mendapat persetujuan Perdana Menteri (Ismail Sabri). Penilaian risiko situasi Covid-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

“Penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes Covid-19,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Khairy yang memohon maaf kepada jemaah yang berhasrat menunaikan umrah dalam tempoh terdekat berkata, bukanlah hasrat kerajaan menghalang ibadah itu tetapi mudaratnya lebih besar kepada kesihatan awam.

“Bukan hasrat kerajaan untuk menghalang ke luar negara tetapi berdasarkan data yang membimbangkan dan peningkatan kes mendadak. Kita tangguh, bukan batalkan,” katanya.

Menurut Khairy,  sebanyak 1,306 daripada 11,108 jemaah yang pulang menunaikan umrah dikesan positif Covid-19, setakat 30 Disember lalu dan daripada  jumlah tersebut, 592 dikesan positif hasil ujian pertama pada hari ketibaan di Malaysia.

“Tetapi, paling membimbangkan adalah, 714 kes dikesan positif hasil ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin,” katanya

Related posts

Leave a Comment