341 kes baharu, 170 Omicron di Singapura

SINGAPURA 30 Dis. – Singapura melaporkan 341 kes baharu  Covid-19 setakat 12 tengah hari semalam termasuk 153 kes import menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini 278,750.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), satu kematian turut dilaporkan, sekali gus membawa jumlah kematian kepada 826 orang.

Jumlah kes semalam turun daripada 365 jangkitan yang dilaporkan pada Selasa dan daripada kes-kes baharu itu, 188 adalah jangkitan tempatan, yang merangkumi 182 kes dalam masyarakat dan enam di asrama pekerja asing.

MoH juga merekodkan 170 jangkitan baharu varian Omicron yang disahkan pada Rabu, meliputi 151 kes import dan 19 kes tempatan.

Sementara itu kadar penggunaan unit jagaan rapi (ICU) adalah 50.7 peratus, naik daripada 49.1 peratus pada Selasa.

Terdapat 305 pesakit di hospital, dengan 42 memerlukan sokongan bekalan oksigen, dan di ICU, empat pesakit memerlukan pemantauan rapi manakala 16 pesakit dalam keadaan tenat.

Bagi program vaksinasi pula, sehingga Selasa, sebanyak 91 peratus penduduk Singapura yang layak sudahpun lengkap divaksin di bawah program vaksinasi negara.

Perangkaan yang dikemas kini turut menyertakan kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun, selepas vaksinasi bagi golongan itu bermula pada Isnin.

Related posts

Leave a Comment