Sumbang kudrat, RM ! Bukan ‘sembang sumbang’

DI MEDIA sosial tidak habis lagi ‘kritikan dan sindiran’ dalam pelbagai bentuk terhadap apa yang didakwa kelewatan di pihak kerajaan menghulurkan bantuan terhadap mangsa banjir.

Celik mata sahaja jari jemari pantas menghantar pelbagai kritikan dan sindiran sama ada dalam bentuk teks, foto, video dan sebagainya yang matlamatnya terarah kepada menyindir dan mengkritik.

Alangkah baiknya tangan yang menulis macam-macam itu memegang sesuatu peralatan di lokasi banjir untuk membersih selut dan membuang ‘sampah’.

Itu lebih baik daripada umpama menambah ‘selut’ dengan hantaran yang tidak membina, mencela dan lebih kepada menjejaskan imej, usaha dan kredibiliti orang lain.

Cukuplah tu. Semua orang tahu situasi yang berlaku. Kerajaan pun sudah mengaku ‘kelemahan’. Setiap kelemahan boleh diperbaiki.

Tidak ada kesudahannya jika asyik menuding jari dengan terus memutarkan sesuatu yang tidak bersandarkan fakta sebenar dengan tujuan mahu memberi persepsi buruk terhadap pihak berkuasa. Menimbulkan kemarahan dan pertikaian khalayak.

Kadang-kadang ada juga isu yang sudah ‘dihanyutkan banjir’ atau ‘tenggelam bersama selut digali, dicari dan dicuci’ kembali untuk ‘dipersembahkan’ semula kepada khalayak melalui media sosial yang lebih terarah kepada ‘mencela’ dan merendah-rendahkan orang lain.

Sekarang adalah masa untuk ‘bekerja dan beramal’, masa untuk membantu rakan-rakan atau mangsa banjir yang sedang ‘sakit’ akibat musibah yang tidak terduga ini. Masa untuk menggembirakan mereka yang sedang berduka, mengubat atau menyembuhkan ‘sakit’ yang sedang ditanggung.

Musibah yang datang tiada siapa mampu menghalang. Ingatlah apa juga yang kita rancang, pengakhirannya bukan ditentukan kita. Ibarat penyakit yang boleh diubati, tetapi andai saat kematian tiba, tiada sesiapa mampu mengubatnya.

Apa juga yang mahu dilabelkan terhadap banjir ini – musibah, bala, hukum alam dan sebagainya, sekarang adalah masa untuk kita sumbang tenaga atau kudrat bagi membantu mangsa banjir ini, bukan masa ‘sembang sumbang’ mengenai kejadian ini.

Turunlah ke lokasi untuk membantu mangsa yang sedang bertungkus lumus membersihkan rumah yang berselut. Sumbangan tenaga atau kudrat amat diperlukan bagi membersih rumah terutama yang tenggelam pada hari kejadian.

Jumaat lalu ketika saya di Taman Sri Nanding, Hulu Langat suasana persekitaran masih dipenuhi longgokan sampah. Di hadapan rumah longgokan sampah belum diangkut, sesetengah kawasan hampir menutup laluan, hanya muat untuk laluan motosikal.

Diharapkan kerja-kerja mengalihkan sampah itu dipercepatkan. Yang berkemampuan, sewalah ‘roro’ untuk memudah dan mempercepatkan penduduk membuang sampah berkenaan.

Ini kerana longgokan itu boleh mengganggu kelancaran pembersihan rumah yang tenggelam sepenuhnya. Malahan ada rumah yang di dalamnya masih penuh dengan barang yang rosak, basah, berlumpur bagaikan ‘sampah sarap’.

Dalam situasi rumah yang ditenggelami sepenuhnya, langkah paling baik adalah mengosongkan sama sekali rumah berkenaan supaya kerja pembersihan lebih menyeluruh. Bukannya sedikit demi sedikit atau berulang-ulang.

Kerja-kerja ini memerlukan sokongan ‘orang luar’ terutama kudrat anak muda, bukan setakat keluarga berkenaan sahaja yang mungkin tinggal warga emas atau mereka yang sudah keletihan selepas bertungkus lumus beberapa hari lalu.

Bagi mangsa yang rumahnya tenggelam, memang sukar untuk menyelamatkan perabot, barangan elektrik, pakaian dan sebagainya. Pilihan yang ada buang, tetapi terpaksa menunggu kehadiran lori sampah pukal.

Tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak berkuasa walaupun jangkaannya ia akan mengambil masa yang agak lama. Selagi longgokan sampah itu tidak diangkut, kerja pembersihan akan terganggu apatah lagi jika kawasannya berselut.

Ruang dalam rumah perlu dibersihkan dengan segera supaya penduduk tidak terlepas pelbagai bantuan bagi mengisi semula rumah terutama pakaian, tilam, selimut, dapur gas, barangan elektrik, keperluan harian, makanan kering dan sebagainya.

Disebabkan keadaan rumah yang tidak terurus, ada mangsa tidak mengambil bantuan berkenaan kerana tidak ada tempat simpanan selagi rumah tidak ‘bersih’. Jika diambil juga ada kemungkinan barang ini rosak, terbuang atau tidak terurus yang akhirnya berlaku pembaziran.

Justeru kaedah penyampaian sumbangan itu juga hendaklah lebih tersusun, kerana ada mangsa yang diminta hadir ke lokasi berkenaan sedangkan mereka pada masa yang sama sibuk membersih rumah serta tidak ada ruang simpanan.

Jangan pula kerana untuk menghabiskan barang bantuan, sesiapa sahaja yang melintas di kawasan itu dipelawa mengambil barang bantuan termasuk tilam.

Mungkin lebih baik, barangan yang tahan lama disimpan di mana-mana lokasi dan mangsa banjir boleh menuntutnya apabila ‘rumah baharu’ mereka bersedia menerima sesuatu yang baharu ke dalam rumah.

Kepada Keluarga Malaysia teruslah membantu selepas berakhirnya fasa membersih rumah. Bersama kita sumbang sesuatu untuk mengisi semula apa yang telah hilang bagi menceriakan semula rumah mereka.

Related posts

Leave a Comment