Kes harian turun kepada 2,778

PUTRAJAYA 26 Dis. – Jumlah kes harian jangkitan Covid-19 kembali turun di bawah 3,000, dengan merekodkan 2,778 kes baharu hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebelum ini, sebanyak 2,589 jangkitan baharu dilaporkan pada 20 Disember lalu, iaitu kira-kira lapan bulan selepas kali terakhir merekodkan angka harian bawah 3,000 pada 26 April dengan 2,776 kes.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang direkodkan negara setakat ini adalah sebanyak 2,741,179 kes.

Daripada 2,778 kes, sebanyak 2,649 kes tempatan melibatkan 2,532 warganegara dan 117 bukan warganegara manakala 129 kes import melibatkan 124 warganegara dan lima bukan warganegara.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 60 kes (2.2 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 2,718 kes (97.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Sebanyak 3,539 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif 2,665,034 kes

Sementara itu, sebanyak 306 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 244 kes disahkan Covid-19; 62 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

Katanya, sebanyak 170 kes memerlukan bantuan pernafasan iaitu 101 kes disahkan Covid-19; 69 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

Dua kluster baharu direkodkan menjadikan 6,103, di mana 5,885 kluster tamat dan 218 kluster aktif.

Related posts

Leave a Comment