BANGKOK 24 Dis. – Thailand melaporkan kluster varian Omicron pertama di wilayah Kalasin dengan sekurang-kurangnya 22 jangkitan baharu dikesan daripada kluster ini, demikian menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA).
Jangkitan itu berpunca daripada pasangan suami isteri berusia 47 tahun, yang tiba dari Belgium dan memasuki Thailand melalui program “Test & Go”.
Pasangan yang telah lengkap vaksinasi itu diuji negatif Covid-19 sebaik tiba pada awal Disember dan kemudiannya mengalami gejala dan disahkan positif seterusnya diuji positif untuk varian Omicron.
Menantu mereka berusia 22 tahun yang tinggal di Udon Thani juga diuji positif varian Omicron selepas mengunjungi pasangan itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr Suakit Sirilak berkata kira-kira 100 kontak rapat pasangan tersebut sedang menjalani kuarantin.
Beliau berkata pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada terdapat kemungkinan kluster lain dan sehingga kini, Thailand telah melaporkan 205 kes Omicron, kebanyakannya melibatkan ketibaan asing.
Thailand melaporkan penularan tempatan pertama kes Omicron pada Isnin melibatkan wanita tempatan berusia 49 tahun yang diuji positif selepas dijangkiti daripada suaminya warga Colombia yang pulang dari Nigeria akhir November.
Berkaitan kes jangkitan pula, Thailand merekodkan 2,671 kes baharu Covid-19 dengan 27 kematian menjadikan jumlah keseluruhan 2,204,672 kes dengan 21,528 kematian.
Terdapat 2,616 kes dalam kalangan penduduk awam termasuk 55 kes import dan 58 dalam kalangan banduan.
Sementara itu Dewan Bandaraya Bangkok membatalkan semua acara sambutan Tahun Baharu untuk membendung penularan kes Omicron.
Bagaimanapun, acara ambang tahun baharu dan pertunjukkan bunga api anjuran pihak swasta seperti pusat beli-belah boleh diadakan tetapi pengunjung perlu mengemukakan bukti vaksinasi dan keputusan ujian antigen.
Pengunjung juga perlu memeriksa suhu badan, penjarakan fizikal, memakai pelitup muka.
