Jangkaan peningkatan kes Covid-19

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Kementerian Kesihatan menjangkakan peningkatan kes Covid-19 berikutan bencana banjir, selepas saringan di pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa lokasi merekodkan 181 kes positif.

Setakat pukul 11 pagi, antara lain membabitkan 117 kes positif di Selangor, Pahang (52), Kelantan (6), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4) dan masing-masing satu kes di Melaka serta Negeri Sembilan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kebanyakan kes positif terdiri daripada pesakit kategori 1 dan 2, iaitu yang tidak mempunyai gejala atau menunjukkan gejala ringan.

Sehubungan itu, katanya, semua individu berkenaan dipindahkan ke lokasi tertentu, sama ada hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau kemudahan yang berkaitan seperti PPS khusus.

“Berikutan kes positif ini, kita mendapati ada 206 kontak rapat dan mereka semua juga dipindahkan ke PPS khusus, PKRC, stesen kuarantin atau hospital,” katanya.

Kementerian memang menjangkakan berlaku peningkatan kes disebabkan bencana banjir, dengan mengambil kira keadaan proses pemindahan yang terpaksa dibuat dalam risiko tinggi.

“Maka, ada langkah kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana keutamaan kita ialah untuk menyelamatkan mangsa banjir, sehingga kadang kala tidak memakai pelitup muka.

“Bagaimanapun, kita bersiap sedia dengan risiko kenaikan kes disebabkan bencana banjir ketika ini, dengan menambah baik aspek sistem kesihatan awam dan kesiapsiagaan di semua negeri,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Susulan banjir yang dilihat semakin meruncing terutama membabitkan beberapa negeri di pantai timur, Khairy berkata, Kementerian mengambil keputusan untuk menambah pasukan di kawasan terbabit.

Related posts

Leave a Comment