Indonesia tangguh hantar jemaah umrah

JAKARTA 19 Dis. – Indonesia menangguhkan penghantaran jemaah umrah ke Makkah sehingga 2022,  susulan rayuan Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan Menteri Agama, Yaqut Choilil Qoumas, supaya orang ramai tidak melancong ke luar negara.

Ketua Pengarah Haji dan Umrah (PHU) di Kementerian Agama, Hilman Latief, berkata keputusan berkaitan ibadah umrah itu dibuat selepas ia dibincangkan ketika pertemuan dengan Persatuan Penganjur Perjalanan Umrah (PPIU).

“Kami mengutamakan perlindungan jemaah umrah ketika pandemik Covid-19, terutama selepas kemunculan varian baru Omicron. Atas dasar itu, keberangkatan jemaah umrah ditunda hingga awal 2022. Kami berharap keadaan akan segera bertambah baik,” kata Latief dalam satu kenyataan.

Menurutnya PPIU menyokong keputusan pemerintah itu dan mengakui ada yang kecewa dan sedih kerana rancangan umrah tertangguh lagi, namun semua pihak faham bahawa pandemik belum berakhir, malah varian baru kini muncul.

“Ada harapan pelepasan dilakukan walaupun jumlahnya berkurangan tetapi secara umumnya, persatuan PPIU memahami dan mematuhi rayuan untuk tidak ke luar negara,” katanya.

Beliau berharap rayuan larangan perjalanan ke luar negara bukan saja dilaksanakan bagi jemaah umrah tetapi juga kepada semua rancangan penerbangan ke luar negara.

Katanya , sebagai pengawal selia dan penyelia pelaksanaan ibadah umrah, Kementerian Agama terus berhubung dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan pelaksanaan umrah yang sihat lagi selamat.

“Penangguhan ini sememangnya satu keputusan yang pahit tetapi dilakukan untuk kebaikan bersama. Kami berharap semua dapat memahami dan semoga ada pengajaran daripada keputusan ini,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment