Singapura kesan 16 kes Omicron

SINGAPURA 14 Dis. – Singapura mengesahkan lapan kes baharu Omicron hari ini manakala enam kes Omicron awal yang dilaporkan sebelum ini juga disahkan menerusi penjujukan genomik.

Pengerusi bersama pasukan petugas pelbagai kementerian (MTF) mengenai Covid-19 republik itu, Gan Kim Yong berkata, setakat ini Singapura mengesan 16 kes varian Omicron, melibatkan 14 kes import dan dua kes tempatan.

Katanya, virus Omicron kini dikesan di lebih 60 negara di seluruh dunia dan dijangka akan terus merebak ke banyak negara lain dari semasa ke semasa.

“Kami akan terus memantau rapat situasi global,” kata Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Industri pada sidang media maya hari ini.

Menurut Gan, dua kes tempatan di Singapura adalah petugas perkhidmatan penumpang lapangan terbang.

“Kami tidak mengesan sebarang penularan dalam masyarakat, namun berdasarkan pengalaman negara lain, ia hanya menunggu masa. Ini bererti boleh berlaku lonjakan kes kerana sifat varian Omicron yang sangat mudah menular.

“Oleh itu kita mesti bersiap sedia untuk senario seperti itu,” katanya.

Gan berkata vaksinasi kekal sebagai pertahanan utama Singapura terhadap COVID-19, termasuk varian Omicron.

“Kami menyediakan program suntikan dos penggalak untuk memastikan penduduk kita terus dilindungi daripada kesan yang teruk,” katanya.

Sementara itu, mengenai pentingnya suntikan dos penggalak, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung memberitahu sidang media tersebut bahawa kajian yang dijalankan di United Kingdom baru-baru ini mendedahkan beberapa “pencerahan penting”.

Setelah menerima dua dos vaksin Pfizer-BioNTech, keberkesanan terhadap jangkitan Omicron merosot daripada kira-kira 90 peratus sebulan selepas suntikan dos kedua, kepada sekitar 50 peratus selepas tiga bulan, dan kemudian 35 peratus selepas empat bulan dan lebih dari itu.

“Tahap perlindungan akan merosot dengan agak pantas,” tambah beliau.

Menurut Ong, dua minggu selepas menerima dos penggalak, keberkesanan terhadap jangkitan Omicron melonjak kembali kepada 75 peratus, dan ini “menggalakkan”.

“Ini bermakna dos penggalak berkesan dan ia adalah perlindungan terhadap jangkitan bergejala,” katanya.

Related posts

Leave a Comment