PKR tanding 28 kerusi DUN Sarawak

KUCHING 4 Dis. – PKR menambah seorang lagi calon yang akan mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak menjadikan jumlah calonnya kini 28, kata Presiden PKR,  Anwar Ibrahim.

Katanya, Hapeni Fadil, akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan berikutan permintaan orang tempatan dan badan bukan kerajaan yang lain yang meminta  supaya Hapeni menjadi calon kawasan itu.

Bercakap pada sidang media di ibu pejabat PKR Sarawak di sini malam tadi, beliau berkata, PKR hanya meletakkan wakil di kawasan yang mempunyai jentera dan kekuatan parti.

“Kita kena fokus kepada kawasan yang mempunyai jentera dan kekuatan. Apakah ini bermakna kita beri laluan kepada GPS (Gabungan Parti Sarawak) (untuk menang)? Tak. Kita tak mahu cuba bolot dalam keadaan kawasan yang kita tak punyai cukup kekuatan,” katanya.

PKR hari ini pada awalnya mengumumkan seramai 27 calonnya akan bertanding pada PRN tetapi menambah satu lagi di Simunjan.

Antara yang diumumkan sebagai calon adalah adalah Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Abg Zulkifli Abg Engkeh bagi kerusi DUN Beting Maro dan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Joshua Jabeng di DUN Kakus.

Bagaimanapun, Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri Dominique Ng berkata PKR mungkin membuat perubahan di saat akhir dan berkemungkinan menambah lagi calon-calon yang bertanding.

Related posts

Leave a Comment