13 kes pelajar sekolah di Sydney

SYDNEY: Tiga pelajar sebuah sekolah di Sydney, Australia positif Covid-19 bagi varian Omicron, menjadikannya kes tempatan pertama strain baharu itu dikesan dalam komuniti.

Pegawai kesihatan memaklumkan terdapat 10 lagi kes suspek Omicron di Regents Park Christian School sama yang sedang disahkan, menjadikan 13 kes sekali gus menandakan jangkitan sudah pun merebak.

Kluster itu terjadi sewaktu larangan terhadap bukan warganegara untuk memasuki negara itu dan sekatan penerbangan dari selatan Afrika di mana varian itu mula dikesan.

Kementerian Kesihatan New South Wales (NSW) berkata kes pertama di negara itu tidak ada sejarah perjalanan luar negara atau kaitan dengan individu mempunyai sejarah perjalanan luar negara, sekali gus menimbulkan kecemasan.

Australia sebelum ini pernah mengesan beberapa kes Omicron tetapi kesemuanya dikesan dalam kalangan pengembara yang menjalani kuarantin.

Kesemua kakitangan dan persatuan pelajar di Sekolah Kristian Regents Park yang terletak di barat Sydney diminta menjalani ujian saringan dan mengasingkan diri.

Australia ketika ini merekodkan sekitar 2,000 kes Covid-19 sehari.

Related posts

Leave a Comment