Thailand juga sekat 8 negara

BANGKOK 28 Nov. – Thailand turut melarang kemasukan pengembara dari lapan negara di Afrika mulai Disember ini berikutan penularan jangkitan melibatkan varian baharu Covid-19 dikenali Omicron.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata negara terlibat adalah Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe.

Mulai semalam, pengembara dari negara yang terletak di selatan benua Afrika itu tidak akan dibenarkan mendaftar untuk program pelancongan “Thailand Pass”.

Bagaimanapun bagi mereka yang sebelum ini telah mendapat kelulusan, wajib menjalani kuarantin selama 14 hari.

Selain itu, pengembara lengkap dengan suntikan vaksin Covid-19 dari negara Afrika yang lain tidak akan dibenarkan mengikuti aturan perjalanan tanpa kuarantin dan mereka wajib menjalani kuarantin sebaik tiba di Thailand.

Setakat ini, beliau berkata tiada kes melibatkan varian baharu itu dilaporkan di Thailand.

Thailand telah menjalankan ujian saringan terhadap 1,007 ketibaan dari 12 negara Afrika, di bawah program “sandbox” dan semuanya didapati bebas daripada Covid-19.

Related posts

Leave a Comment