Pelawat dikuarantin 72 jam

KETIKA dunia bimbang dengan varian baharu Covid-19 Omicron, Australia menetapkan semua pelawat lengkap divaksin yang tiba di wilayah New South Wales dan Victoria, perlu menjalani pengasingan kendiri untuk sekurang-kurangnya 72 jam.

Menurut Kementerian Kesihatan New South Wales (NSW) peraturan itu berkuat kuasa mulai pukul 12 tengah malam pada 28 November.

“Semua pelawat lengkap divaksin yang tiba di NSW yang berada di mana-mana negara lain mesti terus ke kediaman atau penginapan mereka dan lakukan ujian tindak balas rantaian polimeras Covid-19 (swab hidung dan tekak) serta menjalani pengasingan kendiri buat sekurang-kurangnya 72 jam,” kata Kementerian itu.

Ketua Menteri New South Wales Dominic Perrottet berkata langkah-langkah baru itu akan “memastikan orang ramai selamat”.

Katanya, pihak berkuasa di seluruh dunia masih menyiasat risiko yang dibawa oleh varian baharu ini.

“Oleh demikian, Pemerintah NSW akan terus mengutamakan keselamatan masyarakat dengan mengambil langkah berjaga-jaga tetapi penting ini sehingga lebih banyak maklumat disediakan.” katanya,

Pada awal Sabtu (27 November) Australia mengenakan sekatan baharu terhadap penduduknya yang membuat perjalanan ke sembilan negara selatan Afrika.

Negara-negara itu adalah Afrika Selatan, Namibia, Zimbabwe, Botswana, Lesotho, Eswatini, Seychelles, Malawi dan Mozambique.

Berkuat kuasa serta-merta, pemerintah akan melarang penumpang bukan rakyat yang sudah ke negara-negara tersebut daripada memasuki Australia.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Greg Hunt berkata, warga Australia dan tanggungan mereka pula disyaratkan menjalani kuarantin yang dipantau selama 14 hari apabila pulang ke tanah air dari negara-negara berkenaan.

Related posts

Leave a Comment