37 kematian baharu Covid-19

PUTRAJAYA 25 Nov. – Kementerian Kesihatan melaporkan 37 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 30,147 orang.

Menurut data di portal COVIDNOW, sembilan daripada 37 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada kes meninggal dunia beberapa minggu lalu, berikutan proses pengesahan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 69,261 kes aktif Covid-19 di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 55,705 individu atau 80.4 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 7,584 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Sebanyak 5,466 kes dirawat di hospital dan 506 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 236 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 270 lagi memerlukan mesin ventilator.

Related posts

Leave a Comment