Yakin menang kerusi ditandingi

MELAKA 9 Nov. –  Generasi muda masa kini merupakan generasi teknologi maklumat yang berupaya menganalisa hal politik dengan mudah dan senario itu memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam catatan di Facebook, beliau berkata ini kerana generasi yang memiliki pemikiran dan cita rasa politik tinggi, halus dan bersifat kompleks itu, akan berfikir secara rasional dan berfakta.

“Generasi ini dikatakan tidak suka menjadi ahli mana-mana parti, tetapi cakna tentang perihal politik. Merekalah generasi teknologi maklumat yang berupaya menganalisa hal politik dengan mudah.

“Namun senario itulah suatu kelebihan buat BN (Barisan Nasional) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak mahupun dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) nanti,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan.berkata, lapan wakil Pas yang dipertaruh dalam PRN Melaka mampu membuat kejutan dan menarik pengundi muda.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata, semua calon Pas itu datang daripada pelbagai latar belakang, namun mempunyai satu sasaran, iaitu membawa kemenangan kepada parti di bawah payung Perikatan Nasional (PN).

Lapan kerusi yang ditandingi Pas ialah Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

“Saya optimis mereka boleh bantu Pas untuk capai kemenangan. Kalau tidak 100 peratus pun, sekurang-kurangnya dapat tarik pengundi muda dan buat kejutan,” katanya selepas Majlis Penganugerahan ‘Product Safety Award’ 2021, di Putrajaya.

Di Alor Gajah, Ahli Parlimennya, Mohd Redzuan Md Yusof yakin PN mampu meraih kemenangan di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen itu.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu, tiga DUN berkenaan ialah N.06 Rembia, N.08 Machap Jaya dan N.10 Asahan.

“Saya fokus sebagai seorang yang bertanggungjawab memayungi calon di bawah Parlimen Alor Gajah. Secara spesifik (saya) meramalkan di Alor Gajah, kita akan dapat kemenangan tiga DUN ini berdasarkan dapatan data.

Terpulang pada hari mengundi berapa ramai orang keluar (mengundi) oleh kerana ramai tertarik dengan PN ketika ini,” katanya.

Beliau berkata semalam, ratusan orang UMNO akan berhijrah ke PN, yang

menampakkan rakyat dah mula memahami perjuangan Bersatu di bawah PN.

DUN Rembia menyaksikan calon daripada PN, Zamzuri Arifin bakal bersaing dengan empat lagi calon BN, PH dan dua calon Bebas.

Related posts

Leave a Comment