Tidak vaksin, tiada gaji cuti sakit

GAZA: Tiada bayaran gaji bagi penjawat awam yang tidak divaksin terhadap Covid-19 apabila mereka mengambil cuti sakit.

Menurut Hamas, Kementerian Kesihatan Gaza menerima 768,000 dos vaksin tetapi hanya 140,000 penduduk sudah lengkap divaksin.

Berikutan itu, Hamas sedang berusaha melenyapkan keraguan terhadap vaksin di wilayah yang dikepung Israel itu

“Langkah undang-undang mesti diambil terhadap pekerja yang tidak mematuhi arahan mengenai vaksinasi,” kata Ketua Pejabat Media Hamas, Salama Maruf.

Langkah serupa bagi pekerja perkhidmatan awam yang tidak divaksin sudahpun dilaksanakan sejak beberapa minggu lalu di petempatan Tebing Barat, sebuah wilayah berasingan yang ditadbir oleh Penguasa Palestin (PA).

Perdana Menteri Palestin Mohammed Shtayyeh berkata “kebanyakan” kes baru di Tebing Barat adalah dalam kalangan penduduk yang tidak divaksin.

Di Tebing Barat, yang di bawah pendudukan tentera Israel sejak 1967, lebih 234,000 kes Covid-19 dicatatkan dan hampir 2,700 penduduk meninggal dunia akibat koronavirus itu.

Lebih 596,000 penduduk sudahpun lengkap divaksin di wilayah tersebut yang didiami sekitar 2.3 juta warga Palestin.

Di Gaza, sekitar 169,000 kes Covid-19 dilaporkan dengan 1,375 kematian setakat ini. 

Related posts

Leave a Comment