Victoria, NSW bergelut dengan Delta

MELBOURNE 26 Sept. – Wilayah Victoria di Australia melaporkan 779 jangkitan baharu Covid-19 dan dua kematian hari ini, susut sedikit berbanding rekod yang dicatatkan sehari sebelumnya.

Jumlah harian yang meningkat itu adalah yang kedua tertinggi bagi wilayah tersebut, selepas 847 jangkitan dicatat pada Sabtu.

Ketika ini dua wilayah Australia dengan paling ramai penduduk,Victoria dan New South Wales (NSW) bergelut dengan cabaran untuk mengekang varian Delta yang sangat berjangkit itu.

Tiga suku warga Australia sudah mendapatkan dos pertama vaksin, manakala hanya separuh telah lengkap kedua-dua dos.

Perdana Menteri Scott Morrison berharap semua wilayah negara itu dapat membuka semula sempadan dan melonggarkan sekatan menjelang Krismas ini.

NSW mencatatkan sembilan kematian, menurut perangkaan kerajaan pada Ahad, sementara jangkitan baharu dalam negeri turun buat hari ketiga berturut-turut kepada 961, jumlah harian terendah dalam hampir seminggu, mencerahkan harapan bahawa bilangan kes mungkin telah memuncak.

Sebanyak 85.2 peratus kalangan penduduk wilayah itu yang berusia lebih 16 tahun sudah menerima dos pertama suntikan vaksin, sementara 59.1 peratus penduduk sudah lengkap mendapat suntikan vaksin Covid-19.

NSW mencatatkan 288 kematian setakat ini akibat penularan varian Delta, menyumbang kepada hampir suku daripada 1,230 kematian di seluruh negara. 

Related posts

Leave a Comment