Singapura lapor 917 kes baharu

SINGAPURA 21 Sept. – Singapura melaporkan 910 kes jangkitan tempatan Covid-19 setakat tengah hari semalam dan tujuh lagi kes import menjadikan jumlah keseluruhan 78,721.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), sebanyak 832 kes dalam masyarakat dilaporkan dan 78 penghuni asrama pekerja asing.

Dalam kalangan kes tempatan baharu semalam, terdapat  230 warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Dua pesakit meninggal dunia pada Ahad, menjadikan jumlah kematian di Singapura seramai 62 orang.

Salah satu kes yang meninggal dunia ialah seorang lelaki berusia 84 tahun yang sudah divaksin terhadap Covid-19.

Warga Singapura itu dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong pada 13 September dengan gejala jangkitan Covid-19 dan diuji positif pada hari yang sama.

Menurut MoH, lelaki itu telah divaksin dan memiliki sejarah penyakit jantung, darah tinggi dan hiperlipidemia, yang bersama dengan usia lanjutnya, menjadikannya lebih mudah terdedah kepada sakit teruk.

Kes kedua pula adalah seorang warga Singapura berusia 85 tahun yang belum lengkap divaksin dan diuji positif bagi penyakit itu pada 16 September dan dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat dua hari kemudian. Dia tidak mempunyai sebarang masalah perubatan yang diketahui.

Terdapat 1,055 pesakit yang dirawat di hospital. Kebanyakan daripada mereka dalam keadaan baik dan sedang dipantau.

Daripada jumlah tersebut, 128 kes penyakit serius memerlukan sokongan oksigen, dan 18 daripada mereka dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi (ICU).

Antara mereka yang sakit teruk adalah 122 warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.

Sepanjang 28 hari yang lalu, 98 peratus kes tempatan tidak menunjukkan gejala atau hanya mengalami gejala ringan.

Related posts

Leave a Comment