Britain vaksinasi remaja 12 tahun

LONDON: Selepas 81 peratus individu berusia lebih 16 tahun di Britain dilengkapi dua dos vaksin Covid-19, negara itu bersedia meneruskan vaksinasi kepada remaja berusia 12 hingga 15 tahun mulai minggu depan.

Langkah itu diambil selepas mendapat sokongan sebulat suara oleh Ketua Pegawai Perubatan (CMO) dari empat negara di United Kingdom.

Menteri Kesihatan, Sajid Javid berkata, pihaknya telah menerima saranan daripada Ketua Pegawai Perubatan untuk memperluaskan vaksinasi bagi melindungi golongan tersebut daripada jangkitan Covid-19.

Pelancarannya di England akan bermula minggu depan manakala Scotland, Wales dan Ireland Utara menetapkan polisi kesihatan sendiri walaupun setiap kerajaan menerima nasihat yang sama daripada ketua pegawai perubatan masing-masing.

Ketua pegawai perubatan mengesyorkan remaja berusia 12 hingga 15 tahun di Britain mendapatkan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech walaupun selepas jawatankuasa bersama vaksinasi dan imunisasi (JCVI) awal bulan ini memutuskan untuk tidak menyokong cadangan tersebut.

Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah lain telah melancarkan vaksinasi kepada remaja dengan lebih meluas.

Terdapat lebih daripada 134,000 kematian akibat Covid-19 di Britain.

Ketua Pegawai Perubatan England, Chris Whitty berkata vaksin kepada remaja dapat mengurangkan penularan Covid-19 dan mengelakkan gangguan pendidikan.

Walaupun vaksin Covid-19 bukanlah ubat yang mujarab, namun ia penting dan berpotensi membantu mengurangkan kesan kesihatan awam yang timbul akibat gangguan pendidikan.

Related posts

Leave a Comment