607 kes baharu di Singapura

SINGAPURA 14 Sept. – Sebanyak 597 kes tempatan baharu Covid-19 dan 10 kes import dilaporkan semalam yang membawa kepada 607 kes harian dan keseluruhan kes sebanyak 72,294.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), daripada jumlah kes itu, sebanyak 534 adalah jangkitan dalam masyarakat dan 63 melibatkan penghuni asrama pekerja dan 157 kes melibatkan warga emas yang berusia lebih 60 tahun.

Satu kluster baharu Covid-19 dengan 28 kes dikesan di rumah penjagaan Ren Ci di Bukit Batok, terdiri daripada 20 penghuni dan lapan kakitangan.

MoH berkata, semua kakitangan dan penghuni lain yang berada di tingkat yang terjejas sudah diuji dan keputusannya setakat ini adalah negatif.

Satu lagi kluster dikesan di asrama Avery Lodge yang kini mempunyai 58 kes.

Menurut MoH, penularan dalam dormitori secara berterusan dalam kalangan penghuni dikesan melalui “ujian proaktif”.

Kesemua penghuni asrama juga dikenakan perintah sekatan pergerakan.

Empat kes import dikesan semasa ketibaan di Singapura manakala enam lagi dikesan sakit semasa menjalani notis jangan keluar rumah atau pengasingan.

Sementara itu, sebanyak 774 pesakit dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan baik dan di bawah pengawasan.

Daripada jumlah itu, 57 adalah penyakit serius yang memerlukan bantuan oksigen dan lapan dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU) dan 51 daripada mereka yang menghidap jangkitan teruk merupakan warga emas berusia lebih 60 tahun.

Dalam kalangan 94 kes yang memerlukan bantuan oksigen, 48 belum menerima vaksin lengkap manakala 46 sudah divaksin sepenuhnya.

Empat daripada enam kes yang berada di ICU belum menerima dos lengkap vaksin Covid-19 dan tidak seorangpun daripada empat kes kematian sudah mendapatkan suntikan vaksin penuh.

Related posts

Leave a Comment