Patuh SOP elak peningkatan kes

PUTRAJAYA 12 Sept. – Ketika Kementerian Kesihatan (KKM) bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19 di Pulau Langkawi, orang ramai atau bakal pengunjung pulau bebas cukai itu sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam usaha mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup serta ekonomi, semua pihak digesa bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan tiada peningkatan jangkitan virus Covid-19 di pulau percutian itu.

“Kerjasama anda semua adalah sangat diperlukan,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini, susulan pengumuman pulau tersebut sebagai lokasi projek rintis gelembung pelancongan domestik bermula 16 September 2021.

Beliau berkata KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19 di Pulau Langkawi yang memerlukan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, kapasiti dan kesiapsiagaan akan dipertingkatkan di Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi,  sebuah hospital hibrid yang merawat pesakit Covid-19 dengan 79 katil, manakala untuk bukan Covid-19 sebanyak 142 katil.

Dr Noor Hisham berkata, melalui penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Langkawi International Shooting Range Malaysia (i-PKRC LISRAM) pada 4 Ogos lepas, sebanyak 60 katil tambahan diwujudkan bagi merawat pesakit Covid-19 kategori satu, dua dan tiga yang berisiko rendah.

“Bagi ICU, sebanyak lapan katil tambahan telah diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 dan daripada jumlah itu, sembilan katil adalah dikhususkan bagi merawat kes Covid-19.

“Selain itu, jabatan-jabatan lain di HSM seperti Jabatan Kecemasan & Trauma, Jabatan Patologi & Transfusi Perubatan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsagaan masing-masing bagi merawat kes Covid-19 yang mungkin akan bertambah,” katanya.

Ini termasuk keperluan menambah bilangan katil bukan ICU dan ICU untuk kes Covid-19, mobilisasi petugas kesihatan dan aset dari daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan oleh pihak swasta.

Related posts

Leave a Comment