Singapura jangka 2,000 kes sehari

SINGAPURA 10 Sept. – Dalam masa beberapa minggu akan datang, Singapura menjangkakan  kes Covid-19 akan mencapai angka 1,000 hingga 2,000 sehari, kata Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Berbilang  Kementerian (MTF) Lawrence Wong.

“Inilah sebabnya kita perlu mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam keadaan sekarang dan memastikan kita menyesuaikan diri secepatnya kepada keadaan jangkitan yang cepat berubah-ubah,” katanya

Memandangkan keadaan sekarang, katanya terdapat keperluan untuk mengambil satu langkah berwaspada..

Sementara Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Gan Kim Yong. berkata, bilangan kes yang meningkat memang sudah dijangkakan ketika Singapura membuka semula ekonominya tetapi, lonjakan mendadak “membimbangkan.

“Inilah sebabnya kita perlu mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam keadaan sekarang dan menyesuaikan diri secepatnya kepada keadaan jangkitan yang cepat berubah-ubah.” kata Gan yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak.

Beliau menarik perhatian jumlah kes harian naik sekali ganda sejak minggu lalu dengan 450 kes jangkitan baharu dilaporkan pada Khamis.

“Walaupun kami menjangkakan peningkatan dalam bilangan kes setiap hari apabila  membuka semula (ekonomi), kadar kenaikan yang mendadak merisaukan,” kata  Gan .

“Meskipun kadar vaksinasi kita sudah menjangkaui banyak negara dan adalah yang tertinggi di dunia, kami mahu memastikan jumlah kes tidak akan melonjak secara mendadak, yang akan membawa kepada lebih banyak kes serius dan kemudian, membebankan sistem jagaan kesihatan kita,” katanya.

Ini adalah kali pertama Singapura mengalami “peningkatan pesat” gelombang jangkitan dalam masyarakat, seperti kenyataan Kementerian Kesihatan.

Gan berkata, negara-negara seperti Israel dan United Kingdom (UK) sudahpun menyaksikan lonjakan mendadak pada kes koronavirus selepas melonggarkan langkah-langkah Covid-19 walaupun dengan perlindungan vaksinasi yang tinggi.

Justeru, Singapura mengambil pendekatan berhati-hati dan mengambil masa lebih panjang untuk berasa yakin bahawa jumlah kes harian yang tinggi tidak akan membawa kepada jumlah kes serius atau kematian yang tinggi.

“Oleh itu, tempoh dua hingga empat minggu akan datang adalah genting untuk melihat sama ada pesakit akan akhirnya mengalami penyakit serius dan komplikasi,” katanya.

Setakat Khamis, 664 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital – 26 daripadanya menghidap sakit teruk dan memerlukan sokongan oksigen di wad am manakala tujuh lagi  dalam keadaan tenat di unit rawatan rapi (ICU).

“Kami faham bahawa kenaikan pantas dalam jumlah kes jangkitan mencetuskan keprihatinan dan keresahan dalam kalangan penduduk,” kata Gan yang menarik perhatian langkah-langkah yang diumumkan awal minggu ini bertujuan untuk memperlahankan lonjakan kes jangkitan.

“Kami sudahpun mengatakan sebelum ini kita harus menjangkakan beberapa kerumitan dan perubahan pada arah yang diambil memandangkan sifat virus ini yang tidak boleh diramalkan. Maka itu, kita perlu bersedia menghadapi jalan yang berliku-liku dan membuat penyesuaian sepanjang jalan untuk hidup dengan Covid-19,” katanya..

Related posts

Leave a Comment