Dua kematian 126 kes baharu

BERAKAS 4 Sept. – Dua lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 12 kematian sejak pandemik itu dilaporkan di Brunei Darussalam, kata Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar.

Kematian pertama melibatkan seorang lelaki berumur 50 tahun dan mengalami masalah jangkitan paru-paru setelah dijangkiti Covid-19 manakala kes kedua,  lelaki berumur 76 tahun yang punca kematian bagi kes ini masih dalam siasatan.

Dr. Md. Isham pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Brunei Darussalam juga memaklumkan 126 kes baharu Covid-19 disahkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan meningkat kepada 3,219 orang.

Katanya, satu kluster baharu dikenali Kluster Derma Wangsa dikesan yang membawa kepada 50 kluster aktif.

Kluster yang mengandungi 12 kes itu dikesan berikutan Operasi ‘Swab Sweep’ di kawasan Mumong yang diadakan pada 2 September lalu selepas beberapa kes dikenal pasti di kawasan berkenaan.

Menurut Dr. Md Isham, terdapat 46 tambahan kes baharu kepada 12 kluster aktif yang sedia ada sementara 68 kes adalah masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Kes-kes dalam kluster-kluster aktif ini adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

Katanya,  pengesanan kontak bagi semua kes baharu ini masih giat dijalankan dan kesemua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

Sementara itu sebanyak 171 kes telah disahkan sembuh pada hari ini termasuk 63 kes positif dalam Kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing.

“Kesemua mereka telah melakukan ujian ‘swab’ ulangan pada hari ke-12 dan disahkan sembuh. Oleh itu, jumlah kes sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada 1,468 manakala jumlah kes aktif sebanyak 1,734 kes,” katanya

Dalam kalangan kes aktif tersebut, lapan dalam keadaan kritikal di mana tujuh daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala satu lagi memerlukan bantuan mesin tambahan ‘heart / lung machine’ (ECMO).

Sementara itu, 32 kes lain yang dikategorikan dalam Kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 2,140 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 245,886 ujian.

Related posts

Leave a Comment