Sambutan Hari Kebangsaan terkawal

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta beberapa agensi penguat kuasa diberikan penghormatan bagi menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2021.

Sambutan  dengan tema “Malaysia Prihatin” diadakan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya bermula pukul 8 pagi. Sambutan berkonsepkan secara terbuka (outdoor), terkawal dan berskala kecil serta penglibatan fizikal yang terhad tanpa melibatkan kehadiran orang awam di lokasi.

Pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan 2021 pada tahun ini adalah mematuhi dan di bawah pemantauan yang ketat bagi semua prosedur operasi standard (SOP)melibatkan penjarakan fizikal, pergerakan, pemakaian pelitup muka dan sanitasi di lokasi.

Gelembung khusus (safety bubble) diwujudkan bagi memastikan tiada percampuran berlaku yang membuka ruang kepada risiko yang tidak diingini. Semua petugas dan peserta persembahan telah diwajibkan lengkap dua dos vaksin dan menjalani ujian calitan(swab test).

Sebanyak empat persembahan diadakan di Dataran Pahlawan Negara iaitu tiga persembahan di lapangan dan satu pertunjukan udara. Penglibatan TUDM merangkumi Bacaan Ikrar Rukun Negara (Faces of Malaysia) terdiri daripada guru dan petugas barisan hadapan, Persembahan Drumline Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persembahan Pancaragam Gabungan Badan Beruniform dan Pertunjukan Udara. Persembahan Drumline ATM diketuai oleh Drum Major Staf Sarjan Madzain bin Medol dengan kekuatan 60 anggota dari perkhidmatan TDM, TLDM dan TUDM.

Segmen pertunjukkan udara antara kemeriahan yang dapat disaksikan dalam sambutan pada hari ini dengan penglibatan 12 buah pesawat TUDM iaitu pesawat pesawat pejuang SU-30MKM (Sukhoi), F/A-18D Hornet dan Hawk serta pesawat angkut Airbus A400M dan C-130 Hercules.

Related posts

Leave a Comment