Tiada istilah hak istimewa kaum Cina

SINGAPURA 30 Ogos  – Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan tiga bahasa sempena Rapat Umum Hari Kebangsaan menyentuh pelbagai isu termasuk berkaitan ekonomi, pekerjaan, kaum dan agama.

Memulakan ucapannya dalam bahasa Melayu diikuti Mandarin pada sebelah petang, Lee menyambung ucapan dalam bahasa Inggeris pada sebelah malam yang berlangsung di Mediacorp.

Ini adalah ucapan pertama Rapat Umum Hari Kebangsaan dalam dua tahun dunia diselubungi pandemik Covid-19.

Beliau berterima kasih kepada rakyat yang memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan dalam menangani Covid-19 termasuk masyarakat Islam yang tidak dapat beribadah seperti biasa semasa Ramadan, hari raya dan ibadah korban.

Lee banyak menyentuh isu keharmonian kaum dan agama, yang menjadi tumpuan berikutan insiden-insiden perkauman sepanjang tahun ini.

Ketika berucap dalam bahasa Mandarin, beliau menegaskan tiada istilah ‘hak istimewa kaum Cina’ dalam masyarakat berbilang kaum di Singapura.

Semua kaum di negara ini dianggap sama, tanpa mempunyai ‘hak istimewa’ masing-masing dan ia adalah teras utama bagi mewujudkan keharmonian kaum serta dasar-dasar awam negara.

Lee menggesa segelintir masyarakat Cina supaya lebih peka tentang cabaran dan perasaan kaum-kaum minoriti, contohnya, isu rumah sewa dan peluang pekerjaan yang dialami golongan minoriti. Jangan jadikan minoriti mangsa diskriminasi.

Beliau juga berharap agar semua kaum terus bertolak ansur dan menegakkan prinsip kesamarataan untuk membina masyarakat yang lebih inklusif demi mencapai keharmonian dan perpaduan negara.

Lee mengakui usaha yang dibuat oleh masyarakat Cina Singapura untuk memupuk kesaksamaan dan keharmonian kaum dalam tahun-tahun awal pembangunan negara.

Ini termasuk menerima dan menggunakan Inggeris sebagai lingua franca atau bahasa perantaraan supaya “masyarakat minoriti berasa lebih tenang”,

“Penggunaan bahasa Inggeris meletakkan mereka yang hanya berbahasa Mandarin dan dialek dalam kedudukan tidak menguntungkan. Oleh itu, tidak berasas untuk mendakwa bahawa terdapat “hak istimewa kaum Cina” di Singapura,” kata Lee.

Namun setelah berdekad-dekad hidup dalam keadaan aman, sebahagian rakyat Singapura berbangsa Cina mungkin mengambil ringan tentang keharmonian kaum dan bersikap kurang sensitif terhadap isu-isu perkauman, kata beliau.

Singapura juga merancang untuk mengadakan undang-undang bagi melindungi keharmonian kaum dan bidang kuasa undang-undang itu akan menangani isu-isu berkaitan kaum.

Akta Memelihara Keharmonian Kaum akan merangkumi ciri-ciri “lebih lembut” yang boleh mengarahkan seseorang yang melakukan kesalahan untuk berhenti melakukannya dan menebus kesalahan dengan mempelajari lebih mendalam tentang kaum lain dan memperbaiki hubungan dengan mereka.

Beliau turut mengumumkan tiga langkah yang bertujuan menyokong pekerja berpendapatan rendah.

Pertama, Model Gaji Progresif (PWM) akan dilanjutkan untuk meliputi lebih ramai pekerja. Sektor runcit akan dimasukkan ke dalam PWM mulai tahun depan, disusuli dengan khidmat makanan dan pengurusan sisa.

Pekerja tertentu dalam semua sektor, bermula dengan penolong pentadbiran dan pemandu, juga akan diletakkan di bawah PWM.

Kedua, syarikat-syarikat yang menggajikan pekerja asing diperlukan membayar semua kakitangan tempatan sekurang-kurangnya gaji kelayakan tempatan sebanyak S$1,400. Buat masa ini, bayaran itu hanya diberikan kepada sebahagian kakitangan tempatan.

Ketiga, pengguna akan tahu syarikat mana yang membayar “gaji yang baik” kepada pekerja mereka menerusi satu Tanda PW (Gaji Progresif).

Mengenai pekerja bergaji rendah, Kementerian Tenaga Manusia sedang meneliti isu tersebut dan akan mengadakan perbincangan mengenainya untuk memberikan golongan pekerja tersebut masa depan yang lebih terjamin.

Tumpuan khusus kepada pekerja penghantaran yang kurang mendapat perlindungan asas yang dinikmati kebanyakan pekerja lain, seperti pampasan bagi kecederaan di tempat kerja,

Related posts

Leave a Comment