Jangkitan seperti campak?

WASHINGTON: Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika Syarikat (AS), memberi amaran varian delta boleh mengakibatkan penyakit yang lebih teruk dan mudah berjangkit antara satu sama lain seperti demam campak dan cacar air.

Menurut Pengarah CDC AS, Dr. Rochelle Walensky, satu data dalaman menunjukkan orang yang telah divaksin sepenuhnya mungkin dapat menyebarkan varian itu pada kadar yang sama dengan mereka yang belum mendapat suntikan vaksin.

Beliau berkata, ini adalah sesuatu yang serius, dan memerlukan langkah-langkah kawalan yang cukup terperinci untuk mengawal varian ini.

CDC dijadualkan menerbitkan data bagi menyokong kenyataan kontroversi Walensky untuk mengubah panduan atau pandangan bagi orang yang telah diberi vaksin sepenuhnya.

Beliau pada Selasa lalu memberitahu bahawa CDC mengesyorkan orang yang telah divaksin sepenuhnya perlu terus mengamalkan pemakaian pelitup muka di tempat yang masih lagi diuji dengan pandemik Covid-19.

Walensky turut menambah bahawa semua individu tidak kira sama ada di sekolah – pelajar, kakitangan dan pelawat perlu memakai pelitup muka setiap masa.

Menurut data yang dikaji oleh CDC, sifat penularan varian Delta ini adalah hampir sama seperti demam campak, cacar air yang mana setiap orang yang dijangkiti akan menjangkiti lagi lapan atau sembilan lagi individu lain.

Juga, sekiranya orang yang divaksinasi dijangkiti, mereka mempunyai virus dalam badan mereka sama seperti orang yang tidak divaksinasi.

Ini bermakna, mereka cenderung menjangkiti orang lain seperti orang yang tidak mendapat vaksin.

Bagaimanapun, CDC menegaskan bahawa orang yang divaksin adalah lebih selamat kerana vaksin itu boleh mencegah lebih 90 peratus penyakit yang lebih teruk.

Cuma, ia mungkin kurang berkesan untuk mengelakkan seseorang itu daripada mendapat jangkitan atau membawa jangkitan kepada yang lain.

Related posts

Leave a Comment