Berita palsu ancam kesihatan

WASHINGTON: Penyebaran berita palsu mengenai Covid-19 dan vaksin perlu diperangi kerana ia boleh mengancam kesihatan awam seterusnya menyebabkan kematian, kata pakar bedah awam Amerika Syarikat (AS), Vivek Murthy.

Justeru beliau menggesa usaha dilakukan dalam memerangi berita palsu ketika penularan wabak Covid-19.

Vivek Murthy turut menggesa syarikat teknologi, pekerja penjagaan kesihatan, wartawan dan rakyat AS melakukan lebih baik dalam mengatasi ancaman terhadap kesihatan awam itu.

“Ramai orang menolak memakai pelitup muka di kawasan berisiko tinggi akibat penyebaran berita palsu. Mereka turut menolak rawatan yang telah terbukti berkesan dan memilih untuk tidak terima suntikan.

“Keadaan ini telah menyebabkan ramai dijangkiti dan susulan itu jumlah kes kematian yang tinggi. Dalam erti kata yang lain, penyebaran berita palsu telah menyebabkan kematian,” katanya.

Gesaan dan ingatan itu dikeluarkan susulan kadar vaksinasi di AS menurun berikutan penentangan terhadap vaksin dan berita palsu mengenai keselamatan imunisasi walaupun angka kematian di negara itu melepasi 600,000 kes.

Berikutan penggunaan internet yang meluas dalam menyebarkan maklumat salah kesihatan, Murthy mendesak syarikat teknologi dan platform media sosial membuat perubahan dalam produk perisian mereka bagi mengurangkan berita palsu.

Ini termasuk meningkatkan akses kepada sumber yang berdasarkan fakta dan sahih.

Related posts

Leave a Comment