Ubat-ubatan RM2.2 juta dirampas

PUTRAJAYA 13 Jun – Operasi Pangea XIV yang membuat serbuan ke atas 94 premis perniagaan berjaya merampas 61,864 unit produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dengan nilai RM 2,071,855, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah.

Turut dirampas adalah beberapa peranti digital seperti komputer dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk.

Katanya, operasi yang bermula pada 18 Mei sehingga 25 Mei itu memberi tumpuan kepada laman sesawang dan media sosial yang menawarkan ubat-ubatan berbahaya terutama penjualan ubat-ubatan dan peranti perubatan yang disalahgunakan bagi tujuan rawatan Covid-19.

Sebanyak 2600 laman sesawang termasuk Dark Web dikesan menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan telah dipantau, disiasat dan diambil tindakan.

Menurut beliau, operasi itu juga menunjukkan bahawa penjual yang tidak bertanggungjawab terus menerus mengambil peluang untuk mendapatkan keuntungan dengan menjual produk perlindungan untuk wabak Covid-19.

“Buktinya, ubat-ubatan terkawal yang dikatakan untuk rawatan Covid-19, pelitup muka (face mask), thermometer, sarung tangan, gaun pembedahan, test-kit untuk Covid-19, nasal aspirator dan swab beralkohol yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan banyak dijual di dalam talian,” katanya.

Selain itu, terdapat trend peningkatan penjualan bahan psikotropik oleh penjual yang tidak bertauliah di platform yang sama.

Menurut beliau lagi, operasi juga memeriksa 972 bungkusan pos dan daripada jumlah tersebut, 157 bungkusan pos yang didapati mengandungi 9115 unit produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dirampas dengan nilai sebanyak RM 108,352.00.

Katanya, sebanyak 18% daripada ubat-ubatan terkawal yang dirampas adalah di bawah kategori bahan psikotropik, selebihnya ubat darah tinggi, kencing manis, pil gugur, ubat anti inflammatory dan lain-lain yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM.

Pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri di mana sebanyak 961 unit ubat-ubatan tidak berdaftar dirampas dengan nilai sebanyak RM 42,213.

Kementerian Kesihatan masih meneruskan pemantauan  di laman sesawang dan media sosial serta mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dalam menangani isu penjualan produk farmaseutikal  dan peranti perubatan dalam talian.

Orang ramai pula dinasihatkan memastikan produk kesihatan yang dijual sama ada di atas talian ataupun di premis mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk sebelum membeli produk tersebut.

Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status”. Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan tersebut.

Related posts

Leave a Comment