Longgar sekatan, Phuket dibuka

BANGKOK 13 Jun – Bangkok akan melonggarkan sekatan Covid-19 bermula Isnin sementara mulai 1 Julai, pulau peranginan Phuket bakal menyambut kedatangan pelawat asing yang sudah divaksinasi dari negara berisiko rendah.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata keputusan itu dibuat memandangkan wabak di Bangkok ‘terkawal’ manakala 70 peratus penduduk tempatan di Phuket, terutama dalam sektor pelancongan sudah menerima vaksin masing-masing.

Katanya, lima jenis perniagaan di Bangkok dan tempat-tempat seperti muzium, taman awam, klinik dan salun kecantikan dan pusat urut (hanya untuk urutan kaki) akan dibuka semula.

Bagaimanapun , Prayuth menerusi Facebooknya berkata tempat-tempat berkenaan akan ditutup semula jika didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Mengenai Phuket, di bawah program “Phuket Sandbox” pelancong asing yang telah divaksin tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari, tetapi perlu berada di pulau itu selama 14 hari sebelum melakukan perjalanan ke wilayah lain.

“Phuket Sandbox” berfungsi sebagai model untuk destinasi pelancongan di wilayah lain termasuk Chiang Mai, Chon Buri (Pattaya), Krabi, Phang Nga dan Surat Thani (Koh Samui) yang dijangka dibuka bermula Oktober.

Bagaimanapun, pelan itu perlu mendapat kelulusan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dan Kabinet terlebih dahulu yang masing-masing akan bermesyuarat pada 18 dan 22 Jun.

Sebelum Phuket memutuskan untuk membuka semula pusat peranginan itu kepada pelawat asing, ramai dalam kalangan mereka membantah syarat menginap 14 hari sebelum mereka dibenarkan ke wilayah lain.

Menteri Pelancongan dan Sukan Pipat Ratchakitprakarn berkata lebih 50 peratus daripada 29,700 warga asing yang merancang untuk mengunjungi pulau itu telah membatalkan hasrat mereka selepas kerajaan mengenakan syarat berkenaan.

Katanya, kementerian memohon tempoh sebulan untuk menilai pelaksanaannya, jika tiada jangkitan dilaporkan sepanjang tempoh itu, pihaknya akan mencadangkan syarat berkenaan dikurangkan kepada tujuh hari bermula di Phuket sebelum diperluaskan ke wilayah lain.

Related posts

Leave a Comment