Sultan Selangor kecewa, dukacita

SHAH ALAM 8 Jun – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri itu berikutan peningkatan kes Covid-19 dan kematian berkaitan pandemik itu.

Baginda terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), sehingga 1 Jun 2021, Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.

“Adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani.

Dalam hal ini, baginda juga suka untuk mengingatkan bahawa, Selangor adalah penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini.

Baginda turut menzahirkan kekecewaan dan rasa tidak berkenan dengan kewujudan golongan antivaksin di negeri itu.

Justeru Sultan Sharafuddin berharap, rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong oleh golongan tersebut sebaliknya mengingatkan rakyat bahawa vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan sesebuah komuniti, khususnya daripada wabak bahaya seperti Covid-19.

Baginda bimbang jika masih ada individu atau kumpulan yang berdegil tidak menerima suntikan vaksin Covid-19, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini tidak akan tercapai.

“Ia sekali gus meletakkan negara ini dalam krisis wabak yang lebih meruncing dan berbahaya,” titah baginda.

Baginda turut berdukacita melihatkan angka-angka harian kes positif dan kematian baharu di negeri Selangor yang sentiasa menunjukkan peningkatan.

Titah Baginda, dalam situasi sekarang, nyawa rakyat harus diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain.

Pada masa sama, baginda mahu supaya bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor ditambah, khususnya di luar bandar.

Baginda turut merayu agar rakyat terus patuh kepada arahan di bawah perintah kawalan pergerakan termasuk dengan duduk di rumah serta mengamalkan prosedur operasi standard wajib seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan jaga kebersihan diri.

Related posts

Leave a Comment