Ziarah raya punca Kluster Matang

KUALA TERENGGANU 7 Jun – Kluster Kampung Matang iaitu kluster terbesar di daerah Hulu Terengganu yang sehingga kini mencatat 127 kes positif Covid-19 adalah berpunca daripada aktiviti rentas negeri dan ziarah Aidilfitri baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata pada mulanya 19 individu daripada dua keluarga dikesan positif Covid-19 namun penularan terus berlaku hingga menjangkiti rakan sekerja dan jemaah masjid.

“Habis raya yang bekerja masuk kerja. Tanpa sedar menjangkiti rakan sekerja pula. Lebih risau sudah ada jemaah masjid dijangkiti. Akhirnya jangkitan bersambung sambung dan anda boleh sambung sendiri cerita ini…,” katanya.

Dalam hantaran di Facebooknya hari ini, beliau berkata, sehingga kini, kluster Kampung Matang telah merebak ke tiga kampung yang lain iaitu Felcra Bukit Kepah, Kampung Tengkawang dan Kampung Pulau Kudat dan ia masih aktif.

Sebanyak 127 kes positif Covid-19 yang dikesan dari kluster ini telah merebak hingga generasi kelima.

“Kontak rapat sahaja seramai 725 orang tidak termasuk saringan bersasar yang melibatkan beberapa kampung dan sehingga kini ada 975 sampel sedang menunggu keputusan,” katanya.

Dr Nor Azimi berharap kisah-kisah penularan Covid-19 yang dikongsikan di Facebooknya itu dapat dijadikan iktibar agar masyarakat tidak memandang ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Jika keadaan begini berterusan dan kluster baharu pula tumbuh bagai cendawan bila masa kita boleh kawal semua kluster itu serentak. Mampukah kita landaikan lekuk epid dalam masa dua minggu ini?,” katanya.

Related posts

Leave a Comment