Nama baharu varian Covid-19

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan nama baharu varian Covid-19 bagi mengelakkan stigma dan memudahkan perbincangan malahan menghentikan amalan mengenali varian itu mengikut negara ia mula ditemukan.

Varian Britain kini dikenali sebagai varian Alpha; Afrika Selatan sebagai Beta; Brazil sebagai Gamma dan India sebagai Delta.

WHO berpendapat tindakan menamakan semula varian-varian itu dibuat memandangkan nama saintifik seperti B.1.351, 501Y.V2 dan 20H/501Y.V2 yang diberikan para saintis terlalu panjang dan rumit.

Malahan nama saintifik tersebut juga sukar disebut dan diingati malahan cenderung untuk disalah lapor.

Ini adalah untuk menjejaki evolusi varian berdasarkan turutan varian mana yang muncul dahulu.

Dari segi sejarah, virus sering dikaitkan dengan lokasi dari mana mereka dianggap muncul seperti Ebola yang dinamakan sempena Sungai Congo.

Tetapi ini boleh merosakkan tempat-tempat dan sering tidak tepat seperti apa yang disebut wabak ‘Spanish Flu’ pada tahun 1918 walaupun asalnya tidak diketahui.

“Tidak ada negara yang harus terima stigma untuk mengesan dan melaporkan varian,” kata ahli epidemiologi WHO, Maria Van Kerkhove.

Beliau berkata sistem baharu itu membabitkan varian yang membimbangkan terutama empat yang kini berleluasa, dan varian peringkat kedua yang sedang dikesan.

Sementara itu, varian B.1.617 India yang diasingkan kepada dua kategori, dengan  B.1.617.2 selaku varian membimbangkan, akan dikenali sebagai Delta manakala varian B.1.617.1 dikenali sebagai Kappa.

Selain nama berkenaan, terdapat dua lagi nama saintifik bagi setiap mutasi, manakala lokaliti penemuan turut digunakan bagi mengenal pasti varian sama.

Umpamanya di Britain, apa yang disebut varian Britain di negara lain dikenali sebagai varian Kent, iaitu nama wilayah ia kali pertama ditemui di tenggara England.

Namun, rujukan B.1.1.7.2 masih terus digunakan dalam kalangan masyarakat saintifik kerana ia mengandungi butiran mutasi varian berkenaan.

WHO berusaha merungkai kekusutan itu selama beberapa bulan sebelum memperkenalkan identiti baharu bagi varian Covid-19 itu.

Related posts

Leave a Comment