Indonesia tidak hantar jemaah

JAKARTA 3 Jun – Indonesia menyertai keputusan Singapura untuk tidak menghantar jemaah haji tahun ini berikutan penularan pandemik Covid-19 yang masih mengacam keselamatan dan kesihatan jemaah.

Di samping pandemik Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia memutuskan demikian disebabkan kerajaan Arab Saudi masih menyekat kemasukan warga asing ke negara itu.

Menteri Hal Ehwal Agama, Fachrul Razi, berkata keputusan itu juga dibuat berikutan mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan persiapan dalam menghantar jemaah ke Tanah Suci.

Beliau menegaskan wabak berskala global itu mempengaruhi aspek sosial dalam ibadat, sekali gus menyaksikan kementerian itu menubuhkan pusat krisis haji sejak dari awal.

Pasukan telah melakukan kajian khusus mengenai tiga skema mengenai haji.

Tiga pilihan yang dihasilkan menerusi kajian berkenaan memfokuskan pada komitmen untuk mengadakan acara haji yang normal, membatasi haji, dan pilihan terakhir adalah membatalkan haji sama sekali yang mana akhirnya diputuskan oleh kerajaan.

Fachrul berkata, Indonesia pernah berhadapan dengan pembatalan ibadah haji ketika pencerobohan tentera Belanda suatu masa dulu.

“Arab Saudi masih tidak memberikan sebarang akses kepada negara luar. Kerajaan tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan,” katanya.

Keputusan pembatalan keberangkatan jemaah Indonesia diatur dalam Keputusan Menteri Agama RI Nombor 660 Tahun 2021 yang ditetapkan pada 3 Jun 2021.

Dalam surat keputusan tersebut, ada sejumlah pertimbangan yang menjadi dasar pemerintah membatalkan pemberangkatan jemaah haji.

Pertama, terancamnya kesihatan , keselamatan, dan keamanan jemaah haji akibat pandemik Covid-19 yang melanda hampir seluruh negara di dunia, termasuk Indonesia dan Arab Saudi.

Sementara, dalam ajaran Islam, menjaga jiwa harus dijadikan dasar pertimbangan utama dalam menetapkan hukum atau kebijakan oleh pemerintah.

Related posts

Leave a Comment