“LOCKDOWN bukan SHUTDOWN….”

SELAMAT ‘menyambut’ Sekatan Pergerakan Penuh (total lockdown) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP 3.0 . Setahun yang lalu, ketika awal pandemik kita sudah merasai suasana ini.

Semua orang begitu ‘takut’ waktu itu. Ketika itu angka jangkitan harian tidaklah sebesar sekarang tetapi waktu itu orang ramai memang cemas.

Bagaimanapun hari ini suasana berbeza. Angka jangkitan semakin menggila. Hampir mencecah 10,000 kes sehari. Tidak pasti sama ada ini satu ‘kemajuan’ kerana berjaya membongkar lebih banyak kes. Tidak pasti juga sama ada hari ini rakyat lebih takut berbanding sebelum ini.

Dan paling penting suasana hospital hari ini tidak seperti pada Jun 2020. Waktu itu katil masih banyak, katil ICU masih mencukupi, bilik mayat masih ada ruang. Tetapi hari ini keadaan sudah jauh berubah. Perkhidmatan kesihatan kita kini hampir lumpuh.

Situasi seperti inilah yang lebih menakutkan, yang memerlukan sokongan setiap orang bagi mengurangkan beban yang ditanggung petugas barisan hadapan.

Mungkin total lockdown kali ini ‘lebih longgar’ berbanding sebelum ini walaupun pergerakan terbatas. Masih ada sektor ekonomi yang dibuka. Dalam erti kata lain, LOCKDOWN bukanlah SHUTDOWN, walaupun maksudnya lebih kurang sama seperti 2 dharab 5 atau 5 campur 5 .

Yang pasti lockdown juga bukan perintah berkurung.

Seperti pesanan Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob kepada mereka yang ingin merentas daerah dan negeri, jujurlah memberi alasan bukannya alasan ‘ada udang di sebalik batu’ atau ‘sambil menyelam minum air’.

Mungkin itu yang menyebabkan 200,000 kenderaan berjaya melepasi sekatan jalan raya (SJR) ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Mungkin dalam kalangan itu ada yang mempunyai alasan kukuh dan benar-benar satu keperluan.

Dan malang sekali jika dalam 200,000 kenderaan itu ada yang akhirnya menghasilkan kluster baharu kerana kata Ismail Sabri “ Kita boleh menipu pihak polis tetapi kita tidak boleh menipu Covid-19 yang berada di mana-mana,”.

Benar Covid-19 ada di mana-mana. Justeru jangan abaikan SOP. Jujurlah kepada diri, keluarga dan masyarakat. Jangan terlalu mengharapkan pihak penguat kuasa mendidik kita. Jumlah penguat kuasa pun tidak ramai. Mereka juga penat!

Tanggungjawab individu itulah yang penting. Tindak tanduk kitalah yang akan menentukan segala-galanya sebagai usaha dan ikhtiar dan selebihnya kita berserah kepada Allah SWT. Yang penting jangan menyerah sebelum berikhtiar.

Kerjasama semua pihak sama ada kerajaan atau rakyat amat penting. Kerajaan boleh buat peraturan tetapi jika rakyat tidak patuh, semuanya tidak ke mana. Kerajaan juga perlu memastikan hanya perkhidmatan perlu beroperasi.

Contohnya jika rokok, vape, arak adalah produk yang langsung tidak diperlukan semasa penularan wabak Covid-19 (sepatutnya tidak perlu untuk selamanya) maka pastikan industri berkaitan menghentikan operasi. Jika perlu, jualan stok yang ada juga dihentikan. Maksudnya LOCKDOWN dan SHUTDOWN.

Manfaatkan dua minggu ini untuk melandaikan semula keluk penularan Covid-19.

Keluar rumah jika benar-benar mustahak dan pergerakan tidak melebihi radius 10 km dari kediaman. Pandailah ‘membawa diri’ bagi membantu pihak berkuasa.

Insaflah situasi yang sedang berlaku di hospital seluruh negara. Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab. Jangan ditambah beban petugas barisan hadapan. Jangan kerana kecuaian, kedegilan, keegoan melanggar SOP, akhirnya kita membawa pulang Covid-19 ke pangkuan keluarga.

Duduklah di rumah. Rantai ‘kaki anda’ supaya tidak ke sana sini ke sana ke sini di luar kawasan rumah anda supaya kita sama-sama menyumbang memutuskan rantaian Covid-19.

Related posts

Leave a Comment